Malay Arabic English
Logoa_DQ_2014

Kolej Universiti Darul Quran Bakal Menjadi Kenyataan

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia JAKIM memberi sepenuh komitmen bagi menjayakan hasrat pimpinan negara untuk melihat sebuah institusi tinggi tahfiz yang pertama ditubuhkan di Malaysia. Usaha ini akan terlaksana apabila Darul Quran yang merupakan institusi tahfiz yang tertua di negara dinaiktaraf kepada sebuah kolej universiti setelah 46 tahun berada dalam arus pendidikan bagi melahirkan graduan tahfiz, seusia dengan Institut Teknologi MARA (UiTM).

Y. Berbahagi Tan Sri Dr.Mohamad Yusof b Md. Noor, Pengerusi LEPAI yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah USIM yang menyampaikan ucaptama dalam Bengkel Naik Taraf Darul Quran kepada Kolej Universiti  melahirkan rasa gembira dengan perkara ini dan memandang bahawa jalan sudah terbuka bagi JAKIM untuk melaksanakannya setelah mendapat restu daripada pimpinan tertinggi negara, berbanding dengan penubuhan uiversiti lain seperti UKM yang bermula hanya dengan kemahuan semata. Beliau yang memandang  positif tentang perkara ini telah berkongsi pengalaman tentang penubuhan dan kelahiran institusi pengajian tinggi agama di negara kita sehingga bagaimana tertubuhnya Universiti Islam yang pertama di Malaysia iaitu UIAM dan seterusnya Universiti Sains Islam Malaysia.

Dalam perkongsian tersebut, beliau turut mengutarakan beberapa persoalan untuk difikirkan , antaranya mengenai reputasi dan kualiti  yang ingin ditetapkan terhadap Kolej Unversiti Darul Quran. Beliau menyarankan agar perkara-perkara penting untuk penubuhan sebuah universiti diambil kira seperti bidang pengajian yang melambangkan identiti kolej, struktur pentadbiran yang baik, dan juga tenaga pakar yang ingin dipilih sebagai tokoh akademik bagi kolej supaya memberi impak yang lebih besar kepada Kolej Universiti Darul Quran dari segi statusnya untuk bersaing dengan IPT yang lain.

Manakala Ketua Pengarah JAKIM, Dato’ HJ Wan Mohamad bin Dato’ Sheikh Abdul Aziz pula dalam ucapan aluan beliau telah menjelaskan kesediaan di pihak JAKIM untuk menyahut cabaran ini di mana JAKIM sendiri mempunyai tenaga pakar yang ramai untuk berkhidmat dengan sejumlah tujuh orang pegawai memiliki Phd dan 97 orang memiliki Ijazah Sarjana. Beliau turut menekankan tentang keperluan untuk melaksanakan naik taraf terhadap Darul Quran ini selaras dengan keperluan negara untuk memiliki graduan tahfiz yang diiktiraf, selain memenuhi tuntutan semasa yang memerlukan golongan huffaz berada dalam segenap bidang, bukan hanya di bidang agama sahaja sekaligus menjadikan bidang pengajian tahfiz seiring dengan arus perdana.

Bengkel Naik Taraf Darul Quran kepada Kolej Universiti Darul Quran telah menghimpunkan tenaga pakar dari kalangan ahli akademik iaitu Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Dr. Muhamad b Muda, Prof. Dato’ Dr. Sidek Baba,Pensyarah UIAM, Prof. Dr. Siti Rugayah bt Hj Tibek, Pengarah Institut Kajian Rantau Asia Barat UKM, Prof. Madya Dr. Abdul Rahman Chik, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar UIAM, Prof. Madya Dr. Mustaffa b Abdullah, Ketua Jabatan alQuran dan al-Hadith UM, Dr. Zulkifli bin Aini, wakil daripada KUIS, wakil daripada Kementerian Pengajian Tinggi dan Peguam Persekutuan serta Pengarah-pengarah Bahagian JAKIM.

Bengkel yang berlangsung di Hotel De Palma Ampang pada 18 – 20 Febuari 2011 dipenuhi dengan beberapa aktiviti seperti pembentangan Kertas Cadangan Naiktaraf Darul Quran kepada Kolej Universiti oleh Prof. Dr. Sidek Baba serta bengkel yang bertajuk Hala Tuju dan Bidang Pengajian KUDQ . Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada para peserta yang begitu komited menjayakan bengkel yang penuh bermakna ini.

cms-usim1

cms-usim2

cms-usim3