Malay Arabic English
Logoa_DQ_2014

Kunjungan Hormat Pengarah Darul Quran Ke Institut Quran Terengganu dan MTQN Sabah

FEB 2011 - Institut Al-Quran Terengganu, Kuala Terengganu telah menerima kunjungan hormat daripada Pengarah Darul Quran bersama Ketua Penolong Pengarah Akademik, Ustazah Shahidah Shuib dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian IJazah, Ustaz Mat Lazim Hassan. Kunjungan ini disambut oleh Pengarah IQT, Dr. Ahmad Bazli Shafie, En. Lokman Awang, Pendaftar serta pegawai dan kakitangan di sana.

Sebagai sebuah institusi tahfiz yang terkenal dan telah melahirkan ramai ulama berjasa di Terengganu, pihak Darul Quran merasa terpanggil untuk mengenali IQT dengan lebih dekat bagi mengadakan perbincangan dan bertukar-tukar fikiran ke arah memantapkan lagi institusi pendidikan tahfiz di Malaysia umumnya. Selepas sesi perbincangan, pihak IQT membawa tetamu melawat kelas-kelas pengajian dan kawasan sekitar sambil beramah mesra dengan para pelajar yang sebahagiannya merupakan pelajar Diploma Tahfiz Al-Quran JAKIM.

Seterusnya siri lawatan ini diteruskan ke Maahad Tahfiz Al-Quran Negeri (MTQN) Sabah seminggu berikutnya. Kunjungan disambut oleh pihak MTQN yang terdiri daripada Pengetua, Ustazah Haryanti Hj. Tabin dan Dato’ Mokhtar Rapok, salah seorang tenaga pengajar di sana serta beberapa orang pegawai dan kakitangan.

Ahli rombongan diberi taklimat berkaitan sejarah penubuhan MTQN Sabah, carta organisasi, pentadbiran, aktiviti dan laporan prestasi pelajar. Pengarah Darul Quran dalam ucapan aluan beliau menyatakan harapan agar MTQN Sabah terus mengorak langkah dengan lebih bersemangat demi memberi pendidikan agama kepada semua anak-anak Sabah. Pertemuan ini telah memberi ruang untuk kedua-dua pihak berdikusi bagi terus menjana kecemerlangan institusi tahfiz di negeri di bawah bayu ini.

 

P2010977