Malay Arabic English
Logoa_DQ_2014

Majlis Meraikan Pelajar Ke Mesir

Darul Quran telah mengadakan Majlis Meraikan Pelajar Ke Mesir pada 13 Julai 2016 bertempat di Dewan Muktamar Darul Quran Jakim. Majlis ini diadakan bertujuan untuk meraikan graduan-graduan Darul Quran yang bakal menyambung pengajian di Mesir. Dalam masa yang sama, kehadiran mereka bersama ibu bapa masing-masing akan mempercepatkan urusan penerbangan ke Mesir secara tidak langsung kerana jadual penerbangan ialah pada 14 Julai 2016 jam 12:45 pagi.

Seramai 64 orang bakal pelajar Maahad Qiraat Al-Azhar, Mesir yang akan menyambung pengajian pada sesi kali ini dengan diiringi oleh dua orang pegawai serta pensyarah Darul Quran iaitu Us. Muhammad Zaki Bin Ibrahim dan Us. Ikmal Shukri Bin Zulkifli.

Majlis ini telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Haji Razali Bin Shahabudin, Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Insan Jakim bagi mewakili YBhg. Ketua Pengarah Jakim, Tan Sri Dato’ Haji Othman Bin Mustapha yang tidak dapat hadir kerana bertembung dengan tugasan yang lain. Walau bagaimanapun, YBhg. Tan Sri Dato’ Haji Othman Bin Mustapha telah sudi melapangkan masa untuk hadir ke lapangan terbang KLIA pada jam 9:00 malam bagi meraikan para pelajar sebelum bertolak ke bumi anbiya’ Mesir.

Majlis Meraikan Pelajar Ke Mesir telah dimulakan dengan taklimat keselamatan oleh Ketua Pen. Pengarah Hal Ehwal Pelajar, Us. Kamarul Saman Bin Yaacob dan ucapan aluan yang disampaikan oleh Pengarah Darul Quran, Dr. Haji Nordin Bin Ahmad. Majlis kemudiannya diteruskan lagi dengan ucapan perasmian serta amanat daripada Dato’ Haji Razali Bin Shahabudin. Beliau yang dalam ucapannya telah mengingatkan para pelajar yang akan menyambung pengajian ke Mesir dengan nasihat Imam Syafie rahimahullah kepada para penuntut yang menyatakan:

“Tidak akan mendapat ilmu melainkan dengan enam perkara. (i) kecerdasan, (ii) semangat, (iii) bersungguh-sungguh, (iv) memiliki kewangan, (v) tunjuk ajar guru dan (vi) masa yang panjang.”

Beliau juga turut mengucapkan tahniah kepada para pelajar yang akan menyambung pengajian ke sana dan mendoakan kejayaan mereka kelak.

Semua pelajar akan berlepas ke Mesir ini bakal menyambung pengajian dalam bidang Takhassus Qiraat selama 3 tahun. Darul Quran mendoakan keselamatan mereka sepanjang perjalanan serta berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang selama menuntut ilmu di sana.

0J0A5101

0J0A5072

0J0A5148

0J0A5178