Malay Arabic English
Logoa_DQ_2014

Pelajar Syukbah Dakwah Darul Quran Masuk Hospital

Bagi memenuhi keperluan dan tugasan Kursus PSD 3473 Bimbingan dan Kaunseling Islam, Darul Quran melalui Jabatan Pengajian Usuluddin telah mengadakan lawatan ilmiah ke Hospital Sungai Buloh, Selangor bersama seramai 21 orang pelajar Program Diploma Tahfiz al-Quran, Syukbah Dakwah, Semester 5. Program telah dijadualkan pada 21 Julai 2016, jam 10.30 pagi.

Program dimulakan dengan ucapan alu-aluan Pengerusi Majlis, Ustaz Ahmad Tarmezi bin Ali. Seterusnya sedikit taklimat oleh Timbalan Pengarah (Perubatan) Hospital Sungai Buloh, Dr. Aminnudin Bin Tauhid. Majlis perasmian program disempurnakan oleh Ustazah Azizah Binti Che Hassan, Timbalan Pengarah (Akademik) Darul Quran, mewakili YBrs. Pengarah, Dr. Haji Nordin Bin Ahmad yang tidak dapat bersama-sama menyertai program ini. Lawatan turut disertai oleh Ustaz Mohamad Rahim Bin Mohammed Abdul Rahman, Ketua Penolong Pengarah Pengajian, Ustaz Safuan Bin Hassan, Ketua Jabatan Pengajian Usuluddin dan Ustazah Nazariah Binti Ali, Penyelaras Dakwah, Jabatan Pengajian Usuluddin.

Program diteruskan dengan ziarah ke wad kanak-kanak. Peserta lawatan yang diketuai oleh Abdul Hadi Bin Abdullah, menyampaikan sumbangan berbentuk makanan, di samping mengedarkan majalah bergambar ‘Asuh’ bertujuan menggembirakan mereka. Program lawatan diteruskan lagi ke wad pesakit kronik, yang mana terlibat dengan kemalangan yang mengakibatkan kecederaan patah tulang. Peserta lawatan turut memberi semangat, bertanya khabar serta mengambil berat mengenai masalah mereka dalam pelaksanaan ibadah solat ketika sakit. Para pesakit turut menerima sumbangan risalah panduan ibadah pesakit dan mereka ditunjuk ajar cara beribadah dengan betul ketika sakit. Sumbangan dari peserta lawatan disampaikan kepada kira-kira 100 orang pesakit hospital.

Semoga lawatan ilmiah ini telah memenuhi objektif pelaksanaannya iaitu memberi pendedahan kepada peserta khususnya golongan huffaz dalam mempraktik dan menguasai ilmu bimbingan dan kaunseling, di samping menerapkan sahsiah unggul dan nilai murni melalui penglibatan dalam latihan, pengurusan dan komunikasi dengan pesakit. Pihak penyelaras program juga mengharapkan agar usaha yang dilakukan ini sedikit sebanyak meringankan bebanan kesakitan dan tekanan perasaan para pesakit di hospital sebagai salah satu metode dakwah kepada masyarakat. Lawatan turut dimeriahkan dengan kehadiran Imam Muda Hassan melalui ceramahnya bertajuk ”Fitnah Akhir Zaman” yang mana dihadiri oleh warga hospital dan para peserta program yang berakhir kira-kira jam 4.30 petang.

DSCN6356

DSCN6370

DSCN6378

DSCN6391

DSCN6443

Semakan RAYUAN

semak1