Malay Arabic English
Logoa_DQ_2014

Siaran Langsung Forum “Bicara Ini Bicara Al-Quran” Di Darul Quran Jakim

KUALA KUBU BHARU:  Darul Quran Jakim dengan kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah menganjurkan Forum Perdana Hal Ehwal Islam bersempena Ekspo Konvokesyen Darul Quran Jakim Kali Ke-25 yang bersiaran secara langsung dari Dewan Muktamar Darul Quran Jakim, Kuala Kubu Bharu pada 4 Ogos 2016.

Forum ini diadakan bertujuan mendedahkan warga Darul Quran dan penonton yang hadir terdiri daripada masyarakat Hulu Selangor dengan diskusi ilmu-ilmu kerohanian sebagai bekalan jati diri di samping ianya merupakan salah satu acara yang memeriahkan lagi ekspo konvokesyen pada tahun ini. Tajuk forum ini ialah “Bicara Ini Bicara Al-Quran” yang dihoskan oleh Ustaz Mohd Hariri Bin Mohamad Daud dari Unit Indeks Syariah Malaysia dan panel forum pertama ialah YBhg. Tan Sri Dato’ Haji Syaikh Ismail Bin Haji Muhammad, Imam Besar Masjid Negara serta al-Fadhil Ustaz Abdullah Bukhari Bin Abdul Rahim, Pensyarah Universiti Islam Malaysia (UIAM) selaku ahli panel kedua.

Antara perkara yang dibincangkan dalam forum ini ialah berkaitan kelebihan menghafaz al-Quran. Ianya merangkumi aspek rohani, mental, fizikal, dunia serta akhirat sehinggakan kadangkala kelebihan tersebut dapat dilihat di dunia lagi. Sebagai contoh di negara Malaysia, pelbagai insentif dan biasiswa yang ditawarkan kepada penghafaz-penghafaz al-Quran. Manakala dari aspek ukhrawi pula, Nabi Muhammad SAW telah bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa yang membaca satu huruf dari Kitabullah, maka dia akan mendapat kebaikan (pahala) dan pahalanya akan dilipatgandakan sebanyak 10 kali ganda. Aku (Nabi SAW) tidak mengatakan bahawa Alif Lam Mim itu satu huruf tetapi Alif itu satu huruf, Lam itu satu huruf dan Mim itu satu huruf.”

Selain itu, YBhg. Tan Sri Dato’ Haji Syaikh Ismail juga telah menasihatkan kepada ‘orang muda’, dalam keghairahan hendak menggalakkan masyarakat untuk cintakan al-Quran, ianya perlulah dilaksanakan dengan cara yang berhikmah. Antara perkara yang perlu dititikberatkan terlebih dahulu ialah dengan memantapkan diri sendiri dengan ilmu kerana masyarakat akan lebih mudah menerima pandangan orang-orang yang berstatus ‘hebat’. YBhg. Tan Sri turut mengambil kesempatan menasihatkan supaya umat Islam mengubah cara hidup. Sebelum membaca surat khabar atau menggunakan telefon bimbit pada waktu pagi, bacalah al-Quran terlebih dahulu.

Turut hadir dalam forum ini ialah YAD Dato’ Orang Kaya Maha Bijaya Hulu Selangor Dato’ Haji Aman Shah Bin Mohd Shahar, Orang Besar Daerah Hulu Selangor, YB Datuk Haji Mat Nadzari Bin Ahmad Dahlan, ADUN Batang Kali, YBhg. Dato’ Haji Mustafa Kamal Bin A. Razak, Pengarah Bahagian Media Jakim, YBhg. Dato’ Haji Ali Bin Mohammed, Pengarah Bahagian Dakwah Jakim dan YBrs. Pengarah Darul Quran.

0J0A5920

0J0A5923

0J0A5925

0J0A5926

0J0A5936