Malay Arabic English
Logoa_DQ_2014

Istiadat Konvokesyen Darul Quran Kali Ke-25 Disambut Meriah Bersama Majlis Perasmian Sambutan Jubli Emas Darul Quran Jakim

KUALA KUBU BHARU - YB Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir Bin Haji Baharom (B), Menteri Di Jabatan Perdana Menteri telah berkenan untuk merasmikan Istiadat Konvokesyen Kali Ke-25 Dan Perasmian Sambutan Jubli Emas Darul Quran Jakim yang berlangsung pada 6 Ogos 2016. Majlis yang berlangsung penuh gilang-gemilang itu telah diadakan di Dewan Muktamar Darul Quran, Kuala Kubu Bharu, Selangor.

Pada istiadat konvokesyen kali ini, seramai 397 orang graduan telah menerima Diploma Tahfiz al-Quran manakala seramai 113 graduan pula menerima Sijil Tahfiz al-Quran. Selain itu, 113 graduan yang tamat Program Ijazah Sarjana Muda al-Quran dan Sunnah Dengan Kepujian USIM-Darul Quran turut diraikan pada majlis yang sama. Penganugerahan Sijil dan Diploma ini telah disempurnakan oleh YBhg. Tan Sri Dato’ Haji Othman Bin Mustapha, Ketua Pengarah Jakim.

Dalam ucapan perasmian yang disampaikan oleh YB Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir Bin Haji Baharom (B), beliau telah mengucapkan tahniah kepada semua graduan yang telah berjaya menamatkan pengajian mereka di Darul Quran. Di samping itu, beliau juga mengharapkan agar semua graduan memainkan peranan dan tanggungjawab dalam pembangunan negara sesuai dengan perkembangan Darul Quran sebagai sebuah institusi tahfiz yang telah beroperasi sejak 50 tahun yang lalu. Pada ketika ini, graduan tahfiz bukan sahaja terdiri dalam bidang agama sahaja, malah turut melibatkan bidang-bidang yang lain seperti bidang kedoktoran, kejuruteraan dan sebagainya.

Majlis yang disambut bersama dengan Majlis Perasmian Sambutan Jubli Emas Darul Quran ini telah menobatkan dua orang insan terpilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Huffaz. YBhg. Tan Sri Dato’ Haji Syaikh Ismail Bin Haji Muhammad, Imam Besar Masjid Negara telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Huffaz Perdana manakala al-Fadhil Ustaz Ali Badri Bin Abdul Majid telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Huffaz Khas. Penerima Anugerah Tokoh Huffaz Perdana telah menerima wang tunai sebanyak RM20000, sijil penganugerahan dan medal sementara penerima Anugerah Tokoh Huffaz Khas pula menerima wang tunai sebanyak RM5000, sijil penganugerahan serta medal. Dalam Majlis Perasmian Sambutan Jubli Emas ini juga, YB Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir Bin Haji Baharom (B) telah merasmikan pelancaran buku Jubli Emas Darul Quran Jakim.

Turut hadir dalam majlis ini ialah YB Senator Dato’ Dr. Asyraf Wajdi Bin Dato’ Dusuki, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, YB Datuk Mat Nadzari Bin Ahmad Dahlan, ADUN Batang Kali, SS Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan, Timbalan-Timbalan Ketua Pengarah Jakim, Ahli-Ahli Lembaga Darul Quran, Ahli-Ahli Jawatankuasa Penasihat Akademik Darul Quran, Pengarah-Pengarah Bahagian Jakim, Mantan-Mantan Pengetua/Pengarah Darul Quran Jakim dan Pengetua-Pengetua Maahad Tahfiz Al-Quran Negeri (MTQN).

11

2

1

3

7

10

 8

 9

5

6

4



Semakan RAYUAN

semak1