Malay Arabic English
Logoa_DQ_2014

Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Insan Jakim Yang Baru Merasmikan Kursus Pensijilan Pengajaran & Pembelajaran Di Ilim

BANGI – Dalam usaha meningkatkan kompetensi para pensyarah, Darul Quran Jakim telah bekerjasama dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam menganjurkan Kursus Pensijilan Pengajaran & Pembelajaran yang bermula pada 10-25 Oktober 2016. Kursus selama 12 hari ini telah diadakan di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Bangi.

Kursus ini telah dirasmikan oleh YBhg. Haji Paimuzi Bin Yahya, Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Insan Jakim yang baru dilantik berkuatkuasa pada 5 Oktober 2016. Ini merupakan antara tugasan awal beliau selepas menjawat jawatan selaku TKPPI Jakim. Beliau telah menyatakan harapan agar semua peserta kursus dapat menggunakan peluang ini dengan sebaik-baiknya dan dapat memberikan tumpuan sepanjang tempoh kursus berjalan. Sudah semestinya dua perkara yang harus dicapai selepas selesai berkursus iaitu pertambahan ilmu serta kemahiran. Sejajar dengan hasrat Darul Quran yang hendak dinaiktaraf, beliau juga menyatakan harapan agar para pensyarah Darul Quran serta Maahad-Maahad Tahfiz Al-Quran Negeri (MTQN) dapat meningkatkan lagi kemahiran dari sudut pengajaran dan pembelajaran.

Terdahulu, Pengarah Darul Quran, Dr. Haji Nordin Bin Ahmad dalam ucapan aluannya telah mengambil kesempatan merakamkan ucapan tahniah kepada Haji Paimuzi atas pelantikan beliau sebagai TKPPI yang baru. YBrs. Dr. telah menjelaskan kepada peserta-peserta kursus tentang objektif kursus ini diadakan yang bertujuan untuk memantapkan kemahiran pembelajaran dan pengajaran serta kepimpinan pensyarah dalam bidang akademik. Selain itu, kursus ini juga merupakan persediaan latihan pembangunan staf bagi memenuhi keperluan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) di samping dapat memperkasakan tahap profesionalisme serta kompetensi pensyarah dari sudut penambahbaikan mutu penyampaian pembelajaran dan pengajaran para pensyarah.

Kursus ini dijalankan berdasarkan tiga peringkat iaitu kursus bersemuka yang diadakan selama 12 hari bekerja yang melibatkan beberapa modul, tugasan individu atau kumpulan yang akan dilakukan oleh peserta kursus dan diserahkan semula kepada pihak urusetia 1 bulan dari tarikh soalan tugasan diberikan dan pencerapan pengajaran ke atas peserta kursus yang akan dilakukan sebanyak dua kali oleh pensyarah berpengalaman dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Turut hadir dalam majlis ini ialah Prof. Madya Dr. Azlan Kamari, Penyelaras Unit Pembangunan Profesional & Bakat, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), pegawai-pegawai kanan Darul Quran dan wakil dari UPSI. Kursus Pensijilan Pengajaran & Pembelajaran ini disertai oleh 14 orang pensyarah Darul Quran dan enam orang pensyarah MTQN iaitu dari Maahad Tahfiz Al-Quran ADDIN Tapah, MTQN Pahang, MTQN Perak, MTQN Kelantan, Institut Al-Quran Darul Aman (IQDAR) Kedah, MTQN Sabah dan MARSAH Johor.

 

0J0A9783

0J0A9786

0J0A9803

0J0A9804