Malay Arabic English
Logoa_DQ_2014

Bakti Huffaz Mahasiswa Darul Quran Bersama Masyarakat Di Sungai Besar

SUNGAI BESAR, SELANGOR – Persatuan Kebajikan Maahad Tahfiz (PERKEMAT) Darul Quran dengan kerjasama Unit Kemahiran Insaniah Hal Ehwal Pelajar Darul Quran Jakim telah menganjurkan program Bakti Huffaz pada 28-30 Oktober 2016 bersamaan 27-29 Muharram 1438H. Program yang diadakan di kawasan Sungai Besar Selangor dan berpusat di Masjid Makmuriah ini merupakan program tahunan pelajar-pelajar Darul Quran. YBrs. Pengarah Darul Quran, Dr. Haji Nordin Bin Ahmad telah berkenan menyempurnakan majlis perasmian Bakti Huffaz ini seterusnya menyempurnakan majlis penyerahan anak angkat kepada 10 buah keluarga angkat.

Program ini telah disertai seramai 40 orang pelajar Darul Quran diketuai oleh saudara Muhammad Munir Bin Zamzuri selaku Exco Lajnah Tadbir & Perhubungan Luar PERKEMAT DQ sesi 2015/2016 serta anak-anak muda dan beberapa buah keluarga yang terdiri daripada penduduk-penduduk kawasan Sungai Besar itu sendiri. Program yang berlangsung selama 3 hari 2 malam ini telah diisi dengan pelbagai aktiviti-aktiviti menarik yang telah dirancang bersama dengan AJK Masjid Makmuriah Sungai Besar.

Program yang bertemakan “MELEBAR BAKTI, MEMESRAI KOMUNITI, MENCETUS INSPIRASI” ini telah meletakkan beberapa objektif program iaitu untuk memberi pendedahan kepada mahasiswa Darul Quran supaya lebih dekat dengan golongan masyarakat sebagai sasaran utama dalam memupuk mereka untuk lebih minat mendekati masjid sebagai pusat penyatuan ummah selain memperkenalkan institusi pendidikan tahfiz Darul Quran kepada penduduk tempatan khususnya masyarakat Sungai Besar.

Antara aktiviti-aktiviti dalam program Bakti Huffaz pada kali ini ialah menguruskan program tahlil dan doa selamat, mengadakan program tahsin al-Quran, aktiviti halaqah al-Quran bersama keluarga angkat, acara sukaneka bersama anak-anak yatim di Pusat Jagaan Pertubuhan Kebajikan Ukhwah Anak Yatim Miskin serta bersama keluarga angkat. Selain itu, para peserta program juga telah didedahkan berkaitan marhaban dan berzanji bersama AJK Masjid Makmuriah untuk dipersembahkan dalam majlis kenduri aqiqah. Acara kemuncak ialah pada malam terakhir program iaitu Malam Kesenian Islam telah dijayakan dengan persembahan nasyid dan qasidah oleh pelajar-pelajar Darul Quran. Acara ini telah diakhiri dengan jamuan BBQ bersama penduduk kampung dan ahli kariah Masjid Makmuriah. Bakti Huffaz ini turut diserikan lagi dengan majlis khatam Al-Quran yang dipimpin oleh pelajar Darul Quran bersama keluarga angkat dan ahli jemaah masjid Makmuriah Sungai Besar pada hari yang terakhir.

Semoga program Bakti Huffaz pada kali ini memberi manfaat dan impak yang positif pada para pelajar Darul Quran dan masyarakat serta ahli kariah Masjid Makmuriah Sungai Besar, Selangor.

B2

B

B3

B4

B5

B7

B8

Semakan RAYUAN

semak1