Malay Arabic English
Logoa_DQ_2014

Simposium Tahfiz Al-Quran Peringkat Antarabangsa Berakhir Dengan Jayanya

BANGI - Darul Quran Jakim telah menganjurkan Simposium Tahfiz Al-Quran Peringkat Antarabangsa yang berlangsung pada 22-24 November 2016 di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM). Program yang diadakan bersempena dengan sambutan Jubli Emas Darul Quran Jakim ini dianjurkan secara bersama dengan Centre of Quranic Research (CQR) Universiti Malaya, ILIM dan Yayasan Taqwa.

Sebanyak 4 objektif telah digariskan bagi simposium ini iaitu:

i. mewujudkan perkongsian pengalaman dan pandangan berkenaan pengendalian dan pengurusan institusi tahfiz demi kecemerlangan huffaz;

ii. mencetuskan dapatan baru daripada kalangan pakar dalam bidang tahfiz al-Quran dari pelbagai negara;

iii. meluaskan jalinan ukhuwwah dan hubungan strategik antara institusi tahfiz dalam dan luar negara dengan menyedia ruang perbincangan berkaitan isu-isu global pendidikan tahfiz melalui sesi pertemuan para huffaz yang dinamakan sebagai Ihtifal Huffaz ‘Alamiyyah; dan

iv. menjadikan Malaysia sebagai hub pendidikan tahfiz negara yang bertanggungjawab memberi pengiktirafan kepada penghafaz al-Quran dan institusi tahfiz al-Quran.

Simposium ini telah dirasmikan pada 23 November 2016 dan disempurnakan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi. Turut hadir dalam majlis perasmian tersebut ialah Y.B. Senator Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Dr. Asyraf Wajdi Bin Dato' Dusuki dan YBhg. Tan Sri Dato’ Haji Othman Bin Mustapha selaku Ketua Pengarah Jakim.

YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi dalam ucapan perasmiannya telah menyatakan atas sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat maka kerajaan telah menubuhkan pelbagai institusi tahfiz seperti MRSM Ulul Albab di bawah kendalian Majlis Amanah Rakyat (MARA), Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Tahfiz dan Sekolah Tahfiz Model Ulul Albab di bawah kendalian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Malah komitmen kerajaan terhadap bidang tahfiz tidak terhad sekadar itu, kerajaan juga turut memperkenalkan Kurikulum Bersepadu Tahfiz (KBT) dan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN). Suatu dasar yang dirangka agar kurikulumnya dapat diselaraskan supaya bersifat menyeluruh dan tidak hanya tertumpu kepada kecemerlangan dalam bacaan serta hafalan semata-mata, namun ianya menggabungkan dua komponen ilmu iaitu ilmu hafazan al-Quran dengan ilmu-ilmu yang lain, yang mengintegrasikan antara ilmu aqli dan naqli. Dalam ucapan perasmian ini juga, YAB Timbalan Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan pembinaan prasarana bagi menampung kemudahan bangunan pengajian dan penginapan pelajar yang dianggarkan berjumlah RM35 juta di kampus Darul Quran Kuala Kubu Bharu.

Seramai 300 orang peserta terdiri daripada Pengetua-Pengetua Maahad Tahfiz Al-Quran Negeri, pensyarah-pensyarah instituti pendidikan al-Quran serta pegawai-pegawai yang berlatar-belakangkan pendidikan tahfiz telah berkampung selama 3 hari di sepanjang simposium ini berlangsung bagi mendapatkan perkongsian pengalaman daripada tokoh-tokoh ilmuan al-Quran seluruh negara bukan sahaja dari Malaysia malah negara-negara lain seperti Algeria, Nigeria, Yaman, Mesir, Palestin, Turki, Jordan, Syria yang akan membentangkan kertas kerja berkaitan isu-isu pendidikan tahfiz al-Quran.

z-0J0A1180

z-0J0A1193

z-0J0A1240

z-0J0A1371

z-0J0A1498

z-0J0A1545

z-0J0A1638

z-0J0A1711

ze-0J0A1574

ze-0J0A1609

Semakan RAYUAN

semak1