Malay Arabic English
Logoa_DQ_2014

Darul Quran Menerima Kunjungan Daripada Jawatankuasa Masjid Al-Muttaqin Wangsa Melawati

KUALA KUBU BHARU – Bagi mendapatkan pengalaman berkenaan pengurusan tahfiz, seramai 11 orang Ahli Jawatankuasa Masjid Al-Muttaqin Wangsa Melawati telah mengadakan lawatan kerja ke Darul Quran Jakim pada 22 Disember 2016. Delegasi ini telah diketuai oleh Pengerusi Masjid Al-Muttaqin iaitu Haji Yahaya Bin Haji Din dan ahli-ahlinya. Antaranya seperti Ketua Biro Pelajaran & Muslimah, YM Datin Dr. Hajah Mazuin Bin Raja Abdul Aziz, Ketua Imam, Haji Yahya Mahyuddin Bin Datuk Haji Utoh Said dan selainnya.

Pengarah Darul Quran, Dr. Haji Nordin Bin Ahmad telah berkenan untuk mempengerusikan perjumpaan antara kedua-dua pihak. Beliau yang dalam ucapannya telah mengalu-alukan kehadiran para tetamu yang sudi hadir menziarahi warga Darul Quran. Haji Yahaya selaku ketua delegasi pelawat pula telah memberikan ucapan balas selepas sesi taaruf antara kedua pihak. Beliau telah memberikan sedikit sebanyak maklumat berkenaan aktiviti-aktiviti yang telah dilaksanakan oleh Masjid Al-Muttaqin seperti program Talaqqi Bersanad, Perubatan Islam dan Pengajian-Pengajian Kitab.

Justeru, pihak pengurusan Masjid Al-Muttaqin berharapan agar dapat mewujudkan Pusat Tahfiz Al-Quran dan ianya telahpun dimasukkan dalam Sasaran Kerja Tahunan 2017 bagi melancarkan lagi pelaksanaan program tersebut. Sebanyak lima objektif yang telah digariskan dalam menjayakan program tersebut ialah:

i. Memberi pendedahan kepada anak-anak mengenai ilmu al-Quran khususnya hafazan al-Quran dan membudayakan al-Quran dalam kehidupan harian mereka.

ii. Melahirkan generasi al-Quran yang hafaz al-Quran.

iii. Menggalakkan anak-anak cintakan institusi ibadat.

iv. Menerapkan nilai-nilai al-Quran dalam diri anak-anak.

v. Melahirkan imam-imam muda yang bermutu bacaannya.

Bagi merealisasikan hasrat pihak pengurusan masjid, maka Darul Quran dijadikan rujukan dalam usaha mencapai cita-cita murni tersebut. Pegawai-pegawai Darul Quran yang turut hadir dalam lawatan ini ialah Pendaftar, Timbalan Pengarah Akademik, KPP Cawangan Kualiti Pendidikan Tahfiz, KPP Pengajian dan Ketua-Ketua Jabatan.

IMG_1266

IMG_1262

IMG_1263

IMG_1271

IMG_1273

IMG_1276

IMG_1277

IMG_1278