Malay Arabic English
Logoa_DQ_2014

Lawatan Kerja Jabatan Agama Islam Perak (JAIPK) Ke Darul Quran Jakim

Dalam usaha memperkasakan pendidikan tahfiz di negeri Perak, dalam tempoh satu tahun bermula Jun 2016 hingga Jun 2017, Jabatan Agama Islam Perak sedang membuat kajian tentang segala aspek berkenaan pendidikan tahfiz di negeri Perak dari sudut prasarana, guru-guru tahfiz dan sebagainya. Justeru, pada 6 Mac 2017, delegasi JAIPk telah memilih Darul Quran untuk dijadikan sebagai tempat rujukan di samping dapat melihat ruang dan peluang yang dapat dikongsi bersama antara kedua pihak terutama dari sudut hala tuju pelajar-pelajar tahfiz negeri Perak.

Delegasi JAIPk ini telah disambut oleh pegawai-pegawai Darul Quran yang diketuai oleh Pengarah Dr. Haji Nordin Bin Ahmad. Sementara delegasi pelawat telah dihadiri seramai 16 orang wakil JAIPk yang diketuai oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan JAIPk Haji Mohamad Nasar Bin Kurdi. Selain itu, delegasi JAIPk ini disertai oleh Penolong-Penolong Pengarah dan Penolong-Penolong Pegawai Bahagian Pendidikan JAIPk, Pengetua dan seorang guru Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan, pegawai-pegawai dari Yayasan ADDIN serta dua orang perunding.

Taklimat berkenaan program pengajian di Darul Quran telah disampaikan oleh Pegawai Perhubungan Awam Darul Quran Ustaz Mohd Aishamudin Bin Samsungei. Dalam taklimatnya, beliau telah menyatakan program-program pengajian yang dijalankan iaitu:

1. Ijazah Sarjana Muda Pengajian Quran & Sunnah USIM-DQ

2. Diploma Tahfiz Al-Quran

3. Pensijilan Tahfiz Al-Quran

4. Sijil Asas Tahfiz

5. Sijil Kemahiran Malaysia (SKM)

6. Sijil Tahfiz Malaysia (STM)

7. Sijil Tinggi Tarannum Al-Quran (STTQ)

Bersesuaian dengan program-program yang sedang dilaksanakan oleh Darul Quran sekarang, Dr. Haji Nordin juga turut menyatakan bahawa dalam Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN), Darul Quran telah dipertanggungjawabkan untuk menjadi Ketua Teras 5: Program Pengiktirafan dan Pensijilan Tahfiz Negara.

Pertemuan ini berakhir kira-kira pada pukul 4:30 petang selepas sesi perbincangan, pertukaran cenderamata dari kedua pihak serta sesi bergambar. Pegawai-pegawai Darul Quran yang turut hadir dalam majlis ini ialah Pendaftar, Ketua Penolong Pengarah Cawangan Kualiti Pendidikan Tahfiz, Ketua Penolong Pengarah Akademik, Ketua Penolong Pengarah Hal Ehwal Pelajar dan pegawai-pegawai dari Cawangan Akademik, Cawangan Kualiti Pendidikan Tahfiz serta Cawangan Hal Ehwal Pelajar.

DSC_1192

DSC_1195

DSC_1199

DSC_1200

DSC_1206

DSC_1213