Malay Arabic English
Logoa_DQ_2014

Lawatan Penanda Aras Lembaga Maktab Mahmud, Kedah

Sebagai Ketua Teras 5: Pengiktirafan dan Pensijilan dalam Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN), Darul Quran sentiasa menjadi rujukan kepada institusi-institusi tahfiz di Malaysia. Pada 20 April 2017, Darul Quran telah menerima kunjungan daripada 32 orang peserta lawatan yang terdiri daripada ahli-ahli lembaga, pengetua-pengetua, pegawai-pegawai pengurusan dan guru-guru dari Maktab Mahmud Kedah.

Objektif utama lawatan ini ialah untuk memberi pendedahan kepada pengurusan sekolah terutamanya Maahad Tahfiz Sains Darul Aman berkaitan hala tuju pelajar-pelajar tahfiz serta mendapatkan info-info yang berkaitan dengan pengurusan bidang tahfiz kepada pihak Lembaga Maktab Mahmud. Justeru, hasil daripada lawatan ke Darul Quran ini akan memberi ruang pengalaman baru kepada pihak Maktab Mahmud.

Delegasi pelawat telah diketuai oleh Encik Nasrun Bin Dato’ Mohd Sheriff selaku Setiausaha Lembaga Maktab Mahmud. Dalam ucapan balasnya, beliau telah menyatakan bahawa lawatan penanda aras ini diadakan untuk mengeratkan lagi hubungan secara langsung dengan Darul Quran memandangkan kerjasama dengan Darul Quran yang telah diadakan sebelum ini hanya melalui surat-menyurat, telefon ataupun melalui perantaraan Institut Al-Quran Darul Aman (IQDAR) Kedah. Di samping itu, beliau juga turut menyatakan ketika ini Maktab Mahmud telah mempunyai 13 cawangan di Kedah dan hasrat mereka untuk mewujudkan sekurang-kurangnya satu kelas tahfiz di seluruh cawangan tersebut. Atas tujuan dan hasrat tersebutlah maka lawatan ini diadakan.

Sebelum sesi perbincangan dua hala antara kedua pihak, para tetamu telah diberikan taklimat berkenaan dengan program-program pengajian yang sedang dijalankan di Darul Quran. Taklimat tersebut telah disampaikan oleh Pegawai Perhubungan Awam Darul Quran, Ustaz Mohd Aishamudin Bin Samsungei. Agenda majlis berakhir selepas sesi pertukaran cenderamata antara kedua institusi dan sesi bergambar sebelum delegasi pelawat berangkat pulang ke Kedah.

Antara yang terlibat dalam lawatan ini ialah Pengarah Darul Quran, Dr. Haji Nordin Bin Ahmad dan beberapa pegawai Darul Quran seperti Pendaftar Ustazah Azizah Binti Che Hassan, Penolong Pengarah Kanan Unit Komunikasi Korporat & Pengantarabangsaan Ustaz Mohd Najib Bin Abdul Ghapar, Penolong Pengarah Kanan Unit Mu’adalah & Akredetasi Ustaz Khairul Anuwar Bin Mustaffa, Penolong Pegawai Unit Komunikasi Korporat & Pengantarabangsaan Ustaz Mohd Bakri Bin Hashim dan Ustaz Muhammad Bilal Bin Abu Hasan selaku wakil Unit Akademik.

DSC_1437

DSC_1439

DSC_1442

DSC_1445

DSC_1448

DSC_1450

DSC_1454

DSC_1455

DSC_1456

DSC_1459

DSC_1456

DSC_1471

DSC_1474

DSC_1478

DSC_1507

DSC_1525