Malay Arabic English
Logoa_DQ_2014

Lawatan Sambil Belajar: Program Pemantapan Kaedah Pedagogi Al-Quran Guru Ta’lim Daerah Pendang 2017

Buat julung kalinya, Darul Quran Jakim telah berjaya mengurusetiakan program berbentuk latihan dalam bidang pengajaran dan pembelajaran kepada Guru-Guru Ta’lim Daerah Pendang. Program yang diadakan pada 3 Mei 2017 ini merupakan hasil kerjasama antara Pejabat Pendidikan Daerah Pendang dengan Darul Quran Jakim.

Idea untuk mengadakan Lawatan Sambil Belajar: Program Pemantapan Kaedah Pedagogi Al-Quran Guru Ta’lim Daerah Pendang 2017 ini terhasil atas inisiatif untuk memberi pendedahan berkenaan kaedah pedagogi al-Quran kepada guru-guru yang terlibat dalam mengajar murid-murid Program Ta’lim. Program Ta’lim ini merupakan suatu program yang diadakan oleh Yayasan Pendidikan Negeri Kedah dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Pendang. Program Ta’lim ini telah dilaksanakan sejak tahun 2015 dan melibatkan seramai 500 orang murid Tahun Satu dari 33 buah sekolah kebangsaan di Daerah Pendang.

Objektif program ini ialah:

  1. Melahirkan guru-guru Program Ta’lim yang dapat mendalami ilmu-ilmu berkenaan al-Quran khususnya dalam pengajaran dan pembelajaran al-Quran;
  2. Meningkatkan kemahiran guru-guru Program Ta’lim dari segi teknik dan strategi pengajaran yang sesuai dengan masa kini;
  3. Memberi kemahiran yang tinggi kepada guru-guru Program Ta’lim berkenaan kaedah-kaedah hafazan yang terbaik yang dapat meningkatkan pencapaian hafazan murid dengan pantas dan berkesan; dan
  4. Membudayakan amalan pendidikan berterusan kepada guru-guru Program Ta’lim dalam menguasai dan meneroka ilmu-ilmu serta kemahiran baru berasaskan teknologi yang terkini dalam bidang al-Quran.

Penceramah yang terlibat dalam program ini terdiri daripada pensyarah-pensyarah Darul Quran Jakim iaitu Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Tahfiz al-Quran Ustaz Ab Malek Bin Ab Manaf yang membentangkan tajuk “Mutiara al-Fatihah”, Pensyarah Jabatan Pengajian Tahfiz al-Quran Ustaz Muhammad Zaki Bin Rahman yang membentangkan tajuk “Kaedah Hafazan Berkesan”, Ustaz Shahrulkarnain Bin Mohamad Nazir yang membentangkan tajuk “Pendidikan Tahfiz Kanan-Kanak” dan Syeikh Abdel Mohaimen Sayed Aly Abdel Maged selaku Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian al-Quran & Qiraat yang membentangkan tajuk “Pengalaman Menghafaz al-Quran: Kehidupan Penghafaz al-Quran Dan Masa Depan Penghafaz al-Quran”.

Program yang bermula pada jam 2:30 petang ini berakhir selepas Majlis Penutup & Penyampaian Sijil yang telah disempurnakan oleh Pengarah Darul Quran, Dr. Haji Nordin Bin Ahmad. Rombongan peserta program ini turut dihadiri oleh Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Pendang Unit Pendidikan Islam & J-QAf Ustaz Sufiyuddin Bin Ahmad merangkap ketua rombongan, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Pendang Unit Bimbingan & Kaunseling Encik Jasni Bin Sumadi, Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Pendidikan Pendang Encik Mohd Hamdi Bin Che Me dan Ustaz Zulkifli Bin Hassan selaku Guru Besar Sekolah Kebangsaan Pendang Dua merangkap Ketua Jurulatih Ta'lim.

0J0A6807

0J0A6727

0J0A6743

0J0A6802