Malay Arabic English
Logoa_DQ_2014

Darul Quran Meneruskan Kecemerlangan Di Bumi Anbiya’

Seramai 82 orang pelajar lepasan Diploma Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat Darul Quran Jakim telah menyambung pengajian ke Universiti Al-Azhar Mesir dalam jurusan Takhassus Qiraat di peringkat Ijazah Sarjana Muda di bawah pengurusan Hal Ehwal Pelajar Darul Quran Jakim dan Sekreteriat Menyambung Pengajian ke IPTA Dalam Negeri & Timur Tengah atau dikenali dengan nama SMUTEM.

Para pelajar ini telah diraikan dalam Majlis Meraikan Pelajar Ke Timur Tengah yang diadakan pada 5 Julai 2017 bertempat di Dewan Muktamar Darul Quran sebelum bertolak ke Kuala Lumpur International Airport (KLIA). Dalam ucapannya, Ketua Penolong Pengarah Hal Ehwal Pelajar Darul Quran, Haji Kamarul Saman Bin Yaacub telah menyatakan bahawa para pelajar yang akan berhijrah meninggalkan tanah air untuk menuntut ilmu di tempat orang adalah suatu amanah yang sangat besar. Justeru, para pelajar ini dinasihatkan agar sentiasa berusaha bersungguh-sungguh supaya suatu hari nanti mereka akan pulang menabur bakti dan budi untuk anak bangsa pada masa akan datang.

Ketua Pengarah Jakim, Tan Sri Dato’ Haji Othman Bin Mustapha juga turut meluangkan masa beramah mesra dengan ibu bapa serta pelajar di KLIA seterusnya menyampaikan amanat dan kata semangat kepada para pelajar sebelum berangkat ke Mesir. Beliau juga mengingatkan para pelajar agar sentiasa menjaga nama baik Darul Quran. Para pelajar diibaratkan sebagai duta kecil ke luar negara. Sekiranya baik tingkah laku dan pencapaian pelajar di sana, maka tempiasnya akan terpalit ke Darul Quran dan begitulah sebaliknya.

82 orang pelajar yang akan menyambung pengajian di Mesir ini telah diiringi oleh 3 orang pegawai Darul Quran diketuai oleh Pengarah Darul Quran sendiri, Dr. Haji Nordin Bin Ahmad, Ketua Penolong Pengarah Hal Ehwal Pelajar dan Penolong Pegawai Unit Pembangunan Dasar & Standard Cawangan Kualiti Pendidikan Tahfiz, Haji Miswan Bin Mahajar.

0

1

2

3

4

5

6