Malay Arabic English
Logoa_DQ_2014

Dato’ Asyraf Wajdi Merasmikan Ihtifal Huffaz Peringkat Kebangsaan 2017 Dan Ekspo Konvokesyen Darul Quran

Buat julung-julung kalinya, Darul Quran Jakim telah menganjurkan Ihtifal Huffaz Peringkat Kebangsaan yang diadakan serentak bersama ekspo sempena Istiadat Konvokesyen Darul Quran Jakim Kali Ke-26. Program ini telah diadakan selama lima hari bermula dari 1 hingga 5 Ogos 2017 bertempat di kompleks Darul Quran Jakim, Kuala Kubu Bharu dan tempat-tempat sukan sekitar Kuala Kubu Bharu.

Ihtifal Huffaz Peringkat Kebangsaan 2017 Dan Ekspo sempena Istiadat Konvokesyen Darul Quran Jakim Kali Ke-26 telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Senator Dato’ Dr. Asyraf Wajdi Bin Dusuki. Beliau yang dalam ucapannya telah menekankan berkenaan sasaran YAB Perdana Menteri dalam Dasar Pendidikan Tahfiz Negara untuk melahirkan 125,000 huffaz profesional menjelang 2050 sebagai salah satu agenda Transformasi Nasional 2050 (TN50). Huffaz profesional yang dimaksudkan bukan sekadar berkeupayaan menghafaz al-Quran tetapi menguasai pelbagai disiplin ilmu dan cabang kemahiran yang bermanfaat untuk memacu negara menjadi sebuah negara yang cemerlang beracuan Quranik.

Sebanyak 11 buah Maahad Tahfiz Al-Quran Negeri (MTQN) selain Darul Quran yang mengambil bahagian dalam Ihtifal Huffaz Peringkat Kebangsaan 2017 iaitu Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Perlis, Institut al-Quran Darul Aman (IQDAR), Kedah, Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Perak, Maahad Tahfiz al-Quran Wal Qiraat ADDIN Perak, Institut Tahfiz al-Quran Negeri Sembilan (ITQAN), Maahad Tahfiz al-Quran Masjid Sayyidina Ali, Melaka, Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Pahang, Institut Pengajian Islam Terengganu (INSPI), Institut al-Quran Terengganu (IQT), Maahad Tahfiz al-Quran, Majlis Agama Islam & Adat Istiadat Melayu Kelantan dan Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Sabah.

Sebanyak 26 acara akan dipertandingkan dalam kejohanan kali ini yang meliputi acara-acara ilmiah atau ihtifal ilmi dan acara sukan. Antara acara yang dipertandingkan bagi kategori ihtifal ilmi atau acara ilmiah adalah seperti Tilawah al-Quran Berqiraat, Hafazan al-Quran, Debat Ala Parlimen Bahasa Melayu, Debat Ala Parlimen Bahasa Inggeris dan Debat Ala Parlimen Bahasa Arab, Pidato Bahasa Melayu, Pidato Bahasa Inggeris, Pidato Bahasa Arab serta Nasyid. Bagi kategori acara sukan pula, acara-acara yang dipertandingkan adalah seperti bola sepak, bola jaring, sepak takraw, badminton, bola tampar, ping pong dan futsal.

Selain acara-acara yang dipertandingkan dalam Ihtifal Huffaz, terdapat juga pelbagai acara menarik yang telah dirancang bagi memeriahkan lagi ekspo konvokesyen pada tahun ini seperti gerai-gerai pameran serta jualan, program Lailatul Quran, aktiviti berkayak, memanah dan sebagainya.

YB Senator Dato’ Dr. Asyraf Wajdi turut mengambil kesempatan bersalam-salaman dengan 12 wakil kontinjen yang bertanding dalam kejohanan pada tahun ini seterusnya melawat tapak ekspo selepas majlis perasmian. Turut hadir dalam majlis perasmian ini ialah Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Insan Jakim, Datuk Haji Zainal Abidin Bin Jaffar yang mewakili Tan Sri Dato’ Ketua Pengarah Jakim.

0J0A1016

0J0A0916

0J0A0923

0J0A0925

0J0A0927

0J0A0954

0J0A1016

0J0A1077

0J0A1176