|
Ucapan
Pengarah
Alhamdulillah,
setinggi - tinggi kesyukuran dipanjatkan kepada Allah s.w.t.
yang telah memberikan ilham, hidayah serta inayahNya. Syabas dan
tahniah saya ucapkan kepada semua warga kerja yang berpadu
tenaga untuk mewujudkan laman web Darul Quran yang sememangnya
sudah lama kita nanti-nantikan.
Sebagai
sebuah institusi pendidikan tahfiz al-Quran yang unggul di
negara ini, Darul Quran Jakim sentiasa berusaha meningkatkan
mutu pengurusannya dari semasa ke semasa. Keperluan kepada
memiliki laman web sendiri merupakan suatu kemudahan yang sangat
penting sebagai penyebar maklumat, juga mampu mengetengahkan
fungsi Darul Quran kepada masyarakat setempat dan rakyat
Malaysia keseluruhannya.
Kebanyakan jabatan kerajaan pada masa kini sudah pun memiliki
laman web seiring dengan arus pembangunan sains dan teknologi
pada zaman sekarang. Sejajar dengan itu, Darul Quran turut
mengorak langkah ke hadapan dengan mewujudkan laman webnya
sendiri. Ianya akan dibina secara berperingkat-peringkat dengan
kerjasama bahagian ICT Jakim.
Laman web ini bakal menjadi medium yang sangat penting kepada
Darul Quran dan akan memberi manfaat bagi seluruh warganya
terutama para pelajar Darul Quran sendiri. Ia bukan sahaja
memuatkan berita dan peristiwa yang berlaku bahkan dengan
pelbagai topik yang bersifat ilmiah serta memudahkan para
pelajar untuk menyemak keputusan peperiksaan juga mengenalpasti
status pendaftaran mereka.
Adalah diharapkan laman web Darul Quran ini kelak akan dapat
memberi banyak faedah dan informasi yang berguna kepada semua
pihak.
Akhir kata, sekalung ucapan terima kasih saya kepada semua yang
telah berusaha mewujudkan Laman Web Darul Quran. Semoga saluran
alternatif ini akan beroperasi dengan lebih mantap dan jayanya
seiring dengan peredaran masa.
Sekian,
wassalam
(CHE IBRAHIM BIN CHE MAN) |