PERUTUSAN AIDILFITRI PENGARAH

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
 
Bersempena dengan ketibaan bulan Syawal Tahun 1441H bersamaan tahun Masihi 2020, saya selaku Pengarah Darul Quran ingin merakamkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh warga Darul Quran JAKIM termasuk pensyarah tasmi’ jemputan dan juga para pelajar sekalian.
 
Aidilfitri adalah hari di mana kita menyambut kemenangan setelah kita bersabar menghadapi ujian dan dugaan serta tetap beribadah sepanjang berada di bulan Ramadan. Kemenangan ini akan menjadi lebih besar ertinya jika kita berjaya laksanakan transformasi diri ke arah menjadi insan yang lebih baik dan berakhlak mulia sesuai dengan peranan kita sebagai hamalatul Quran.
 
Sesuai dengan saranan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk memutuskan rantaian jangkitan korona virus, saya suka berpesan kepada semua pegawai dan kakitangan Darul Quran, pensyarah tasmi’ jemputan dan anak-anak pelajar Darul Quran sekalian agar sentiasa menjaga keselamatan, kesihatan dan kebersihan diri semasa kita meraikan Aidilfitri pada kali ini. Semoga antum semua berada di bawah perlindungan Allah 'Azza wa Jalla.
 
Akhir kata saya sekali lagi mengambil kesempatan ini mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.
 
Sekian.
وبالله التوفيق والهداية والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته
 
Mohamad Kori bin Jusoh
Pengarah
Darul Quran JAKIM