Malay Arabic English
logo-DQ

Darul Quran Terima Tamu Dari Persatuan Tahfiz

22 MEI 2011 – pada 20 Mei (Jumaat) yang lalu, Darul Quran telah menerima kunjungan hormat daripada Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS). Delegasi seramai 5 orang ini diketuai oleh pengerusi PITAS iaitu Tuan Haji Ashri bin Lateh al-Muqri’ yang merupakan Pengetua Maahad Tahfiz az-Zahrah, Hulu Langat. Kehadiran mereka telah disambut oleh Pengarah Darul Quran JAKIM, Tuan Haji Paimuzi bin Yahya serta pegawai kanan Darul Quran.

Antara perkara yang dibincangkan dalam pertemuan tersebut adalah berkenaan dengan perkembangan terbaru PITAS sebagai wakil kepada seluruh maahad tahfiz di negeri Selangor. Mengikut angka terbaru, PITAS telah dianggotai oleh 105 buah institusi tahfiz di seluruh negeri Selangor termasuk 37 buah institusi tahfiz yang berdaftar di bawah Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS).

Sepanjang pertemuan dua hala ini berlangsung, pelbagai maklumat dan cadangan penambahbaikan telah diberikan oleh kedua-dua belah pihak dalam kerangka untuk mencari jalan bagi mengukuhkan lagi institusi-institusi tahfiz di Malaysia. Antaranya ialah cadangan daripada Darul Quran supaya PITAS dapat menjadi sebahagian daripada ahli jawatankuasa penaja kepada Dewan Huffaz Kebangsaan dalam memantapkan organisasi tersebut sebagai badan induk kepada organisasi-organisasi tahfiz yang wujud di Malaysia.

Pertemuan penuh bersejarah ini diakhiri dengan penyampaian cenderahati oleh kedua-dua delegasi tersebut sebagai simbolik kepada usaha kerjasama antara kedua-dua pihak terbabit.

cms-IMG_4374

Berkongsi pandangan dan pengalaman dalam menentukan hala tuju PITAS di masa hadapan

cms-IMG_4378

Suasana ketika sesi dialog dan ramah mesra diadakan.

cms-IMG_4382

Pengarah Darul Quran Tuan Haji Paimuzi bin Yahya menyampaikan cenderahati kenangan kepada wakil PITAS.