Mesyuarat Persidangan Jawatankuasa Penyelarasan Pendidikan Islam Kebangsaan (JPPIK) Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-57 bertarikh 5 Oktober 2022 telah bersetuju Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengeluarkan sijil tahfiz secara berperingkat mengikut juzuk sebagai pengiktirafan kepada para penghafaz al-Quran pelbagai peringkat di Malaysia.
Inisiatif Sijil Perakuan Hafazan Bertahap (SPHB) adalah selaras dengan agenda wawasan Transformasi Nasional 2050 (TN2050) mensasarkan 125,000 Huffaz Profesional menjelang tahun 2050 yang berkeupayaan menghafaz al-Quran dan menguasai pelbagai disiplin ilmu serta cabang kemahiran yang bermanfaat untuk memacu negara menjadi negara cemerlang beracuan Quranik.
SPHB ini adalah laluan untuk memperoleh Sijil Tahfiz Malaysia (STM) dalam mengiktiraf para huffaz di negara ini.
SPHB adalah peperiksaan yang terbuka kepada mana-mana calon yang telah mengikuti kelas-kelas hafazan dari mana-mana institusi atau pusat pengajian yang berdaftar. Secara amnya terdapat dua kategori pusat pembelajaran SPHB iaitu:
1. Institusi yang telah berkolaborasi dengan Darul Quran,
2. Madrasah tahfiz dan Pusat Pengajian SPHB yang diwujudkan di masjid, surau dan tempat-tempat pengajian lain.
1. Membuka peluang yang lebih luas kepada para penghafaz al-Quran dan masyarakat untuk mendapatkan pengiktirafan hafazan al-Quran.
2. Menyusun semula pengajian hafazan al-Quran yang dijalankan di seluruh negara agar lebih seragam daripada segi kurikulum, penilaian dan pengiktirafan.
Peperiksaan dilaksanakan 2 kali setahun. Pelajar diberi kebebasan untuk memilih sesi peperiksaan berdasarkan kemampuan hafazan masing-masing. SPHB mempunyai 3 tahap peperiksaan dan mempunyai 2 komponen penilaian iaitu:
1. Tahap 1: Hifz al-Quran Syafawi 1 & Hifz al-Quran Tahriri 1 (Juzuk 1-5)
2. Tahap 2: Hifz al-Quran Syafawi 2 & Hifz al-Quran Tahriri 2 (Juzuk 1-10)
3. Tahap 3: Hifz al-Quran Syafawi 3 & Hifz al-Quran Tahriri 3 (Juzuk 1-20)
Calon yang berjaya dalam peperiksaan ini akan dianugerahkan SPHB berdasarkan tahap peperiksaan yang diduduki. Calon yang ingin menduduki peperiksaan Tahap 3, disyaratkan lulus Tahap 1 dan Tahap 2 terlebih dahulu. Calon yang telah menyempurnakan Tahap 3, layak menduduki peperiksaan Sijil Tahfiz Malaysia dengan syarat:
1. Selesai mengikuti Pengajian Hafazan Juzuk 21-30
2. Selesai mengikuti Pengajian Subjek Pengetahuan Agama Islam.
3. Memiliki Sijil Khatam Hafazan dari institusi.
1. Kelas pengajian SPHB perlu dilaksanakan sekurang-kurangnya 4 jam seminggu di Pusat Pembelajaran SPHB yang berdaftar.
2. Jumlah pelajar dalam satu kelas bagi seorang guru adalah tidak melebihi 8-10 orang.
3. Subjek yang dipelajari adalah seperti yang ditetapkan dalam kurikulum mengikut tahap.
4. Subjek lain seperti penulisan Rasm Uthmani, Tajwid, Adab Hamalah al-Quran dan kefahaman ayat boleh dipelajari semasa kelas pengajian.
5. Kehadiran pelajar ke kelas pengajian hendaklah direkodkan.
1. Berdaftar dengan Darul Quran JAKIM bagi kategori Institusi Pengajian Tinggi (IPT) atau dengan Jabatan Agama Isiam Negeri (JAIN) bagi madrasah tahfiz dan Pusat Pengajian SPHB yang diwujudkan di masjid, surau dan tempat-tempat pengajian lain untuk menjalankan program SPHB.
2. Mempunyai kemudahan prasarana yang mencukupi untuk menjalankan kelas pengajian.
3. Mempunyai tenaga pengajar/guru tahfiz yang menepati syarat yang ditetapkan.
Guru tahfiz disyaratkan sekurang-kurangnya memiliki kelulusan akademik seperti berikut:
1. Ijazah Sarjana Muda Takhassus Qiraat Universiti Al-Azhar, Mesir; atau
2. Diploma Tahfiz Al-Quran dan Al-Qiraat Darul Quran JAKIM; atau
3. Pensijilan Tahfiz Al-Quran Darul Quran JAKIM; atau
4. Sijil Tahfiz Malaysia; atau
5. Sijil Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (Bidang Pengurusan Tahfiz, Bidang Pengajaran Tahfiz dan Bidang Pengurusan Masjid); atau
6. Sijil Tahfiz lain yang diiktiraf.
1. Warganegara Malaysia atau pemastautin tetap.
2. Berumur 13 tahun ke atas.
3. Mampu membaca al-Quran dengan baik.
4. Memiliki minat untuk menghafaz al-Quran.
5. Lulus ujian temu duga kemasukan program.
1. Warganegara Malaysia atau pemastautin tetap.
2. Berumur 13 tahun dan ke atas.
3. Mengemukakan surat pengesahan hafazan dari institusi/guru tasmik.
4. Pengesahan hafazan adalah mengikut kepada tahap hafazan yang dimohon.
5. Satu permohonan adalah untuk satu tahap peperiksaan sahaja.
6. Pemohon mestilah lulus ujian sesuatu tahap untuk memohon menduduki ujian tahap seterusnya.
Darul Quran JAKIM menganugerahkan Sijil Perakuan Hafazan Bertahap (SPHB) kepada huffaz yang telah lulus ujian penilaian yang telah ditetapkan.